Halaman

Ahad, 9 April 2017

Mengidam waktu frasa kehamilan

biodex my first choice

MENGIDAM adalah pengalaman yang biasa dialami oleh kebanyakan wanita hamil dan ia dimaksudkan sebagai keinginan yang tinggi terhadap sesuatu jenis makanan yang dirasai ketika mengandung.

Biasanya mengidam dialami mengikut waktu atau dalam tempoh kehamilan yang berbeza di antara seseorang wanita. Terdapat juga keadaan di mana seseorang wanita mengandung memilih untuk makan sesuatu yang sememangnya tidak akan dimakan pada hari-hari biasa jika tidak mengandung. Begitu pun, mengidam semasa mengandung tidak berlaku kepada semua wanita hamil.

Sebenarnya, penyebab berlakunya mengidam atau penolakan sesuatu jenis makanan semasa mengandung masih tidak diketahui. Terdapat pelbagai faktor yang dikaitkan sebagai punca berlakunya mengidam.

Jangan terkejut apabila ada sesetengah wanita yang hamil bukan hanya mengidam makanan yang diidamkan tetapi juga bahan bukan makanan seperti sabun, kapur dan sebagainya. Mengidam makanan yang manis dan masin serta berempah atau yang tinggi kandungan lemak, adalah yang paling biasa.

Perkara seperti peningkatan keperluan kalori serta zat nutrien semasa kehamilan dan keperluan untuk pertumbuhan atau pembentukan janin merupakan alasan mengapa keadaan ini berlaku.

Kawal nafsu makan

Walau bagaimanapun, mengidam bukanlah suatu kesalahan dan tidak membahayakan jika dapat mengawalnya. Walau sekuat mana anda mengidam sesuatu makanan, pastikan anda dapat mengawal nafsu makan. Fikirkan kesihatan anda dan bayi dalam kandungan.

Sekali lagi dinyatakan, adalah tidak salah untuk anda mengidam semasa mengandung dan pada masa yang sama, masih dapat membekalkan segala nutrien yang diperlukan oleh anda dan bayi dalam kandungan.

Walau bagaimanapun, pastikan anda tidak mengambil sesuatu makanan secara berlebihan. Sebagai contoh, sekiranya anda mengidam untuk makan ais krim, pastikan makan dalam kuantiti yang sederhana.

Pengambilan makanan yang tinggi kalori terutamanya yang tinggi kandungan gula dan lemak atau minyak boleh menyebabkan peningkatan berat badan yang berlebihan secara mendadak.

Selain itu, ada mitos atau cakap-cakap orang tua yang menyatakan jika si ibu tidak dapat menikmati makanan yang diidamkan semasa mengandung anak yang bakal dilahirkan nanti akan meleleh air liur.

Menurut kajian, jika diikutkan apa yang diidamkan oleh ibu mengandung tidak ada hubungan dengan janin yang dikandung. Hakikatnya wanita yang mengidam ini boleh mengalihkan perasaan tersebut dengan perkara lain seperti menyibukkan diri dengan melakukan hobi memasak, memperbanyakkan bacaan al-Quran atau melakukan aktiviti yang bermanfaat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan