Pantang larang biasanya terangkumi adat dan budaya, bukannya terus dari agama. Orang Melayu itu beragama Islam, maka sedikit sebanyak adat dan budaya itu ditubuhkan atas prinsip asas kerangka agama Islam. Namun, ia tidak dapat lari dari pengaruh agama lain dan unsur-unsur khurafat dan karut serta yang bersifat mistik.
Dalam hal macam ni, ambil sahaja prinsip asas Islam. Jauhi perkara yang memudaratkan, dan lakukan perkara yang bermanfaat. Anjuran-anjuran agama Islam dalam kehidupan seharian banyaknya berasaskan perkara ini. Lakukanlah perkara yang datang manfaat, seperti jaga pemakanan dan banyakkan berehat, serta elakkan dari melakukan perkara yang boleh mendatangkan mudarat seperti melakukan kerja berat atau bergusti bagi ibu yang mengandung 8 bulan.
Dalam aspek yang lain, banyak pantang larang sebenarnya boleh difahami tujuan wujudnya pantang larang tersebut, yang boleh difikir secara logik, walaupun ada juga pantang larang yang memang bersifat khurafat dan tahyul. Contohnya,
ibu mengandung dilarang menjahit. Ini untuk mengelakkan daripada berlaku sebarang kemungkinan buruk ke atas ibu dan bayi. Kalau tercucuk jarum tu kat perut tak ke naya dibuatnya? Tapi kalau nak buat, silakan. Anda dinasihati sentiasa berhati-hati.
Bagi pantang larang yang lain, seperti menyematkan rumput pada celah telinga bila turun hujan panas, atau tak boleh melilit tuala pada leher khusus ketika isteri mengandung tidaklah bersifat 'berpijak di bumi nyata', lebih bersifat kepercayaan karut, dan tidak pula ada sandaran dari segi agama.
Jangan memandang pantang larang itu sebagai satu yang wajib diikuti, dan haram dan berdosa besar jika diingkari. Jika sesuatu perbuatan itu mendatangkan manfaat, dan bertepatan dengan Islam, maka ikutlah ia. Jika sesuatu perbuatan itu mendatangkan kemudaratan, maka tinggalkanlah ia.
